Friday, August 5, 2011

TINGKATAN 4:BAB 5 (Bacaan tambahan)


Pertumbuhan Sektor Perkilangan dan Peranan Industri Kecil dan Sederhana (IKS) di Malaysia

Moha Asri Hj. Abdullah

Moha Asri Abdullah, PhD (London) ialah Pensyarah di Pusat Pendidikan Jarak Jauh dalam bidang Pembangunan Industri
Industri kecil dan sederhana (IKS) memainkan peranan penting dalam pembangunan dan perkembangan ekonomi negara.
Kadar pertumbuhan ekonomi yang pesat iaitu pada purata 8.4% setahun dalam tempoh masa 1989-1994 ternyata tidak akan tercapai tanpa sumbangan dan sokongan besar IKS.
Lebih penting, pertumbuhan sektor pembuatan yang amat memberansangkan sejak 1980-an telah meletakkan IKS sebagai industri penggerak utama dalam mempelbagaikan aktiviti di sektor ini.
Peranan dan sumbangan ini dijangka menjadi semakin penting dalam mencapai wawasan 2020 dan menjadikan negara ini sebagai sebuah negara perindustrian. Malah IKS boleh dijadikan sebagai asas, tulang belakang dan pendokong dalam memenuhi hasrat dan cita-cita wawasan pembangunan ekonomi negara selepas 2020.
Dewasa ini sumbangan IKS semakin terserlah dan ini dapat dilihat dalam beberapa bidang seperti jumlah pertubuhan, jumlah pekerjaan, nilai keluaran dan harta tetap. Pada tahun 1994 misalnya, IKS terdiri 84.1% dari jumlah keseluruhan pertubuhan pengilang dalam sektor perkilangan di Malaysia.
IKS juga menyediakan sebanyak 44.2% peluang pekerjaan dari jumlah tenaga kerja dalam sektor perkilangan, 48.9% dan 31.7% masing- masing dalam jumlah nilai keluaran dan jumlah nilai harta tetap.
Lebih penting daripada peratusan perangkaan di atas ialah peranan sebenar yang dimainkan oleh IKS dalam pertumbuhan sektor perkilangan dan keseluruhan pembangunan ekonomi negara.
Secara umumnya, IKS membuka banyak peluang pekerjaan, sumbangan dalam meningkatkan jumlah simpanan negara dan menjimatkan tukaran wang asing, mewujudkan distribusi pendapatan yang lebih baik, membantu dalam melahir dan meningkatkan kemahiran di kalangan tenaga kerja terlibat baik di peringkat pekerja mahupun pada peringkat pengurusan dan membantu dalam meningkatkan arus pemindahan teknologi asing.
Rencana ini cuba mendedahkan hubungjalin antara pertumbuhan sektor perkilangan dengan perkembangan IKS di Malaysia. Penekanan utama akan diberikan terhadap sumbangan penting IKS kepada pertumbuhan sektor perkilangan dan perkembangan ekonomi negara secara keseluruhannya. 


Pertumbuhan Sektor Pembuatan dan Peranan IKS
 
Pertumbuhan pesat ekonomi negara sejak 1970-an telah membuka ruang yang luas kepada pertumbuhan aktiviti dalam sektor perkilangan. Pada tahun 1970-an, sumbangan sektor ini kepada KDNK ialah 13.4% sahaja. Jadual 1 menunjukkan bahawa peratusan ini meningkat kepada 20.5% pada tahun 1980 dan 26.9% pada tahun 1990. Pada tahun 1994, sektor perkilangan berjaya menyumbang sebanyak 31.4% dari keseluruhan nilai KDNK. 

Jadual 1: Komposisi sektor perkilangan dalam KDNK antara tahun 1970 hingga 1994
 
Sektor/Tahun 19701980 1990 19941
Pertanian, Perhutanan dan Perikanan
Perlombongan dan Kuari
Perkilangan
Pembinaan
Kewangan, Perdagangan dan Insurans
Perkhidmatan Kerajaan dan lain
30.8


6.5
13.4
3.9
21.7


20.2
23.4


5.0
20.5
4.5
20.2


23.6
18.6


9.8
26.9
3.6
19.9


21.7
14.9


7.5
31.4
4.1
23.4


20.9
JUMLAH 100100100100
Sumber: Kementerian Kewangan. Laporan Tahunan Ekonomi, (pelbagai isu)
Nota: 1=Jangkaan
Dari segi guna tenaga, Jadual 2 di atas menunjukkan bahawa sektor perkilangan membuka peluang pekerjaan yang lebih ramai dalam tempoh masa 1990-1994 iaitu dari 1.3 juta orang kepada hampir 1.9 juta (iaitu 24.9% dari jumlah keseluruhan guna tenaga). 

Jadual 2: Jumlah gunatenaga dan nilai eksport sektor perkilangan
antara tahun 1990- 1994
 
TahunGuna tenaga ('000)
Sektor Perkilangan

Bilangan
Peratus
Jumlah
Gunatenaga ('000)

Bilangan
Peratus
1990
1991
1992
1993
19941
1333.0
19.9
1500.0
21.7
1639.5
22.9
1766.0
24.0
1890.0
24.9
6686.0
100.0
6926.0
100.0
7147.8
100.0
7370.6
100.0
7607.1
100.0
TahunEksport
Sektor Perkilangan

RM Juta
Peratus
Jumlah Keseluruhan
Eksport

RM Juta
Peratus
1990
1991
1992
1993
19941
46,841
58.9
61,319
64.9
71,458
68.9
89,707
74.0
108,613
80.1
79,497
100.0
94,497
100.0
103,657
100.0
121,214
100.0
138,093
100.0
Sumber: Kementerian Kewangan.
Laporan Tahunan Ekonomi 1993-94, 1994-95, Kuala Lumpur
Nota: 1=Jangkaan
Sumbangan sektor ini dari segi nilai eksport juga meningkat dalam tempoh masa tersebut iaitu dari 58.9% (RM46.8 juta) kepada 74.0% (RM89.7 juta dari jumlah keseluruhan nilai eksport barangan).
Pertumbuhan pesat sektor perkilangan memperlihatkan kepentingan dan peranan IKS yang kian ketara. Penglibatan IKS dalam pelbagai jenis aktiviti perkilangan menjadi penggerak dan tulang belakang kepada pertumbuhan sektor perkilangan amnya.
Di Malaysia, sepertimana dalam Jadual 3, saiz pertubuhan pengilang di Malaysia boleh dibahagikan kepada tiga kategori utama iaitu pengilang bersaiz kecil, sederhana dan besar. 

Jadual 3: Sumbangan Industri Kecil dan Sederhana (IKS) dalam sektor perkilangan antara tahun 1975 hingga 1994
 
Peratusan Sumbangan19751985199219941
Jumlah Pertubuhan
0 - 49 (Industri Kecil)
50 - 199 (Industri Sederhana)
200 dan ke atas (Industri Besar)
0 - 199 (IKS)
69.1
23.3
7.6
92.4
64.0
28.1
7.8
92.1
56.8
30.1
13.1
86.9
50.2
33.9
14.9
84.1
Jumlah Pekerjaan
0 - 49 (Industri Kecil)
50 - 199 (Industri Sederhana)
200 dan ke atas (Industri Besar)
0 - 199 (IKS)
18.5
29.5
51.9
48.0
16.5
32.9
50.6
49.4
9.3
35.8
54.9
45.1
8.1
36.1
55.8
44.2
Jumlah Nilai Keluaran
0 - 49 (Industri Kecil)
50 - 199 (Industri Sederhana)
200 dan ke atas (Industri Besar)
0 - 199 (IKS)
15.4
32.3
52.3
47.7
9.1
37.6
53.3
46.7
6.9
41.2
51.9
48.1
6.5
42.4
50.1
48.9
Jumlah Nilai Harta Tetap
0 - 49 (Industri Kecil)
50 - 199 (Industri Sederhana)
200 dan ke atas (Industri Besar)
0 - 199 (IKS)
10.6
28.9
60.5
39.5
7.8
23.6
68.6
31.4
5.8
25.4
68.8
31.2
5.6
26.1
68.3
31.7
Sumber: Banci Industri dan Sektor Perkilangan (pelbagai isu), Jabatan Statistik
Nota: 1=Jangkaan
Pengilang kecil kebiasaanya terdiri daripada pertubuhan yang mempunyai pekerja sepenuh masa kurang dari 50 orang. Pengilang yang mempunyai jumlah pekerja sepenuh masa di antara 50 hingga 199 selalu digolongkan sebagai industri bersaiz sederhana. Sementara itu, pengilang yang menggunakan tenaga pekerjaan sepenuh masa 200 dan ke atas dikenali sebagai industri bersaiz besar. Walaubagaimanapun, definasi di atas adalah secara umum dan bukanlah sesuatu yang mutlak memandangkan pelbagai institusi dan organisasi mempunyai definasi yang berlainan mengikut kesesuaian objektif masing-masing. Berdasarkan definasi tersebut, sumbangan dan peranan IKS dalam pertumbuhan sektor perkilangan tidak dapat dipertikaikan lagi. 


Membuka Peluang Pekerjaan
 
Satu perkara yang sering diperkatakan dalam IKS ialah ia berupaya membuka lebih banyak peluang-peluang pekerjaan kepada orang ramai. Hal ini demikian memandangkan IKS mampu menggunakan tenaga buruh secara intensif dalam teknik pengeluaran mereka berbanding dengan firma-firma besar. Ini secara terus dapat membuka peluang pekerjaan yang banyak dalam beberapa fungsi pengeluaran dalam operasi IKS.
Data dalam bancian perindustrian perkilangan dalam tahun 1991 menunjukkan bahawa modal tetap untuk seorang tenaga pekerja meningkat mengikut saiz firma terutamanya kepada firma yang memiliki 100 orang pekerja dan ke atas.
Dianggarkan bahawa jumlah kapital untuk setiap orang pekerja bagi IKS mempunyai lebih kurang 14 hingga 50% lebih rendah berbanding dengan industri bersaiz besar. Keseluruhannya, dalam semua bancian dan penyelidikan yang telah dijalankan di dapati bahawa semakin besar saiz sesebuah industri, semakin tinggi penggunaan kapital atau modal.
Apabila IKS menggunakan jumlah kapital yang jauh lebih rendah berbanding dengan firma besar, jumlah dan bilangan pekerja secara langsung lebih ramai bagi setiap ringgit yang dilaburkan. Kelebihan dalam kaedah pengeluaran ini ialah mereka dapat mengurangkan atau meminimakan kos pengeluaran dan seterusnya bersaing dengan firma-firma lain di pasaran terbuka. 


Tabungan dalam Ekonomi dan Pengagihan Pendapatan
 
Kegiatan IKS baik secara langsung mahupun tidak langsung dapat membantu meningkatkan jumlah tabungan dalam ekonomi negara. Dalam kebanyakan operasi industri kecil, sejumlah besar sumber kewangan dan modal datangnya daripada pemilik sendiri. Terdapat juga modal yang disumbangkan oleh ahli keluarga, relatif atau kawan, di samping rakan perniagaan mereka. Kajian menunjukkan bahawa lebih 70% daripada sumber kewangan dalam IKS berpunca daripada pemilik atau pengusaha masing-masing.
Hal ini demikian jelas membayangkan bahawa IKS menjadi sumber utama kepada jumlah tabungan dan simpanan negara. Sekiranya jumlah modal dan sumber kewangan tersebut tidak dilaburkan dan digunakan dalam IKS, berkemungkinan besar ia akan digunakan untuk perbelanjaan keperluan yang lain. Justeru itu, penubuhan dan kegiatan industri kecil dari segi ekonomi menggalakkan kadar simpanan dan tabung ekonomi. Ini boleh meningkatkan keseluruhan kadar simpanan penduduk dalam negara dan mengurangkan masalah kenaikan kadar inflasi. Selain itu, sumber-sumber bahan mentah yang digunakan oleh IKS seperti mesin, peralatan, pejabat dan bangunan juga membantu ke arah meningkatkan tabung simpanan negara. IKS, dalam konteks ini juga, boleh mengurangkan kadar pembaziran yang berlebihan.
Kepentingan dan peranan IKS juga dapat dilihat dari segi pengagihan pendapatan di kalangan penduduk. Firma besar dan syarikat antarabangsa pada umumnya lebih cenderung membayar dan menawarkan gaji, faedah serta kebajikan sosial yang tinggi kepada hanya sekumpulan kecil pekerja terutamanya kepada pengurus atasan, pekerja mahir dan profesional sahaja.
Dalam hubungan ini, terdapat sebilangan kecil sahaja isirumah yang mempunyai pendapatan yang jauh lebih tinggi. Malah kumpulan minoriti isirumah ini memiliki sejumlah besar dari keseluruhan jumlah pendapatan negara berbanding dengan majoriti penduduk yang mendapat pembahagian pendapatan yang kecil. Hal ini menunjukkan bahawa melalui operasi firma besar atau syarikat antarabangsa, tidak ada satu keserataan dan pembahagian dalam pengagihan kekayaan dan distribusi pendapatan penduduk dengan baik dan lebih saksama.
Walaupun dipercayai bahawa distribusi sebenar dan lebih adil mengenai pengagihan pendapatan negara sukar diwujudkan, penglibatan pengusaha, pemilik dan pekerja dalam IKS boleh membantu mengurangkan ketidaksamaan jurang pendapatan penduduk. Kesan dari penglibatan mereka dalam IKS akan dapat mewujud dan menggalakkan pendapatan yang lebih ketara berbanding dengan kewujudan struktur pendapatan dan upah dalam firma besar dan syarikat antarabangsa yang lain. 


Latihan kepada Pekerja
 
Peranan IKS sebagai tempat latihan dalam pelbagai kemahiran untuk pekerja, pengusaha dan bakal pengusaha tidak dapat dipertikaikan lagi. Dengan jumlah modal tersebut, pengusaha IKS dapat membina latihan dan pengetahuan yang berguna mengenai selok-belok operasi perniagaan dan bergantung hidup kepada perniagaan tersebut.
Bagi sejumlah modal yang kecil juga sukar bagi seseorang pengusaha mendapat faedah yang sama dalam firma besar. Lebih penting daripada itu, dengan jumlah modal yang kecil, IKS dapat menyediakan peluang pekerjaan kepada ahli keluarga, jiran dan orang ramai. Peluang pekerjaan dalam IKS ini sudah tentu dapat memberi dan menyediakan latihan dan kemahiran yang berguna kepada diri mereka sendiri di samping pekerja terlibat.
Selain itu, sebahagian besar pengusaha dan pekerja dalam IKS mempunyai taraf pendidikan yang rendah. Tahap pendidikan yang rendah ini jelas jika dibandingkan dengan para pengurus dan pekerja di dalam firma besar dan syarikat antarabangsa yang lain.
Majoriti hanya memiliki kelulusan peringkat Sijil Rendah Pelajaran dan Sijil Pelajaran Malaysia. Dengan adanya taraf kelulusan yang ada pada mereka, sukar sekali bagi mereka mendapatkan gaji yang tinggi dan lumayan sebagai pengurus, pentadbir, akauntan, jurutera dan lain-lain di sektor awam mahupun swasta. Dengan taraf kelulusan formal yang rendah juga amat sukar bagi mereka mendapatkan pekerjaan yang bergaji lumayan dalam firma besar dan syarikat antarabangsa. Bagaimanapun, pengusaha dan pekerja seperti ini dapat berkecimpung dalam IKS.
Justeru itu, melalui penyertaan dalam IKS, mereka bukan sahaja mendapat latihan, tetapi juga dapat meningkatkan pengalaman latihan dan kemahiran tersebut. Latihan dan kemahiran yang dapat diperolehi dalam IKS juga tidak terhad kepada satu-satu bidang operasi.
Kaedah pengeluaran yang lebih menekankan intensif tenaga buruh dalam IKS dan ketiadaan pengkhususan bidang kerja yang tetap dan jelas menyebabkan ramai pekerja dapat menimba latihan dan kemahiran tersebut dalam pelbagai fungsi dan bidang operasi. 


Memperkukuhkan Asas Industri Negara dan Hubungjalin dengan Firma Besar
 
IKS memainkan peranan penting dalam pembangunan ekonomi dengan mewujudkan, mengembangkan, dan mengukuhkan lagi struktur asas pembangunan industri negara. Pembangunan ekonomi yang pesat sejak 1970-an hingga ke hari ini, telah banyak menghubung dan menggabungkan ekonomi negara ini dengan keadaan, perubahan dan aktiviti ekonomi antarabangsa.
Hasilnya, struktur pembangunan industri di Malaysia lebih berbentuk pergantungan dan penyesuaian pengeluaran barangan untuk pasaran eksport. Keadaan pasaran tempatan yang kecil tidak menjadi satu pendorong yang kuat.
Struktur asas pembangunan industri seperti ini ialah pergantungan kepada firma asing dan syarikat antarabangsa. Struktur pembangunan industri sedemikian juga berkembang tanpa mempertingkatkan kemampuan firma tempatan. Sebahagian besar kaedah pengeluaran yang diamalkan adalah secara besar-besaran berunsurkan intensif barangan import dan intensif kapital yang dimonopoli oleh syarikat gergasi antarabangsa. Malah keputusan pelaburan semula keuntungan banyak bergantung kepada pertimbangan ekonomi semasa yang berorientasikan keuntungan dan memaksimakan pulangan yang tinggi.
Namun dalam kebanyakan kes, keuntungan selalu dibawa keluar sama ada ke negara asal syarikat tersebut atau ke negara lain yang mempunyai kos operasi dan tenaga buruh yang lebih rendah.
Peranan dan sumbangan syarikat gergasi ini dalam menyumbang, memperkembang dan memperkukuh asas pembangunan industri di negara ini tidak dapat dikenalpasti. Walau bagaimanapun, sehingga hari ini terdapat kekhuatiran pihak berkuasa dan usahawan terlibat bahawa peranan amat kecil terutama sekali dalam perpindahan dan perkembangan teknologi. Dalam keadaan ini, IKS boleh digunakan sebagai alternatif penting bukan sahaja dalam usaha memperkukuh struktur asas industri negara yang lebih baik dan terjamin, tetapi juga dapat mengurangkan peranan syarikat gergasi antarabangsa.
IKS juga dapat memberi sumbangan penting kepada pembangunan ekonomi negara melalui hubungjalin mereka dengan firma besar dan syarikat antarabangsa. Hubungjalin yang tersusun dan ikhlas dapat menjamin penerusan, perkembangan dan kejayaan IKS baik dari segi meringankan beban kapital, kos pengurusan, pengangkutan mahupun pemasaran.
Tambahan lagi, hubungjalin yang sesuai boleh memberi faedah penting dari segi perpindahan teknologi, peningkatan kualiti barangan, produktiviti, latihan dan kemahiran kepada pengusaha dan pekerja di samping mempercepatkan pembinaan struktur asas perindustrian negara dengan lebih baik.
IKS juga dapat mewujudkan industri pelengkap kepada keperluan dan pembangunan industri negara. Hal ini demikian adalah penting kerana negara kita memerlukan kepelbagaian dalam sektor industri. Penglibatan IKS yang aktif dan dalam pelbagai sektor juga membolehkan asas industri yang mantap dan kukuh dan tidak akan tergugat dan terjejas sekiranya terdapat penarikan operasi dan pelaburan dari firma dan syarikat antarabangsa.
Selain itu, IKS dengan penyesuaian mereka kepada intensif tenaga buruh dapat mengeluarkan barangan yang tidak dapat dihasilkan oleh syarikat dan firma besar. Pembuatan barangan makanan, pakaian dan alatan perabut daripada industri kecil sekurang-kurangnya dapat memenuhi kepuasan citarasa pengguna dalam negeri.
Tidak dapat dinafikan juga bahawa IKS juga dapat mengeluarkan barangan yang dapat memenuhi keperluan barangan sebahagian besar golongan yang berpendapatan rendah dan sederhana dalam negeri. Perkara ini jelas dapat dilihat dalam industri tertentu seperti pembuatan makanan, pembuatan logam, peralatan plastik dan getah, pakaian, peralatan perabut dan seumpamanya. 


Kesimpulan
 
Di Malaysia, kesedaran pelbagai pihak tentang keperluan dalam melahirkan usahawan yang berkemampuan dan bertaraf antarabangsa serta pekerja mahir adalah tinggi. Dalam pembangunan pesat ekonomi sekarang, keperluan dalam meningkatkan penyertaan bumiputera dalam kegiatan perindustrian dan perdagangan di samping memenuhi hasrat dan objektif pembangunan negara serta merealisasikan wawasan 2020 juga telah menjadi satu kesedaran umum.
Penubuhan satu kementerian baru dalam kabinet kerajaan Malaysia selepas pilihanraya 1995, iaitu Kementerian Pembangunan Usahawan telah membayangkan kesedaran dan keperluan ini. Selaras dengan itu juga, pelbagai pihak telah mula menyedari bahawa salah satu langkah penting dalam mencapai hasrat ini ialah melalui bantuan dan sokongan kepada pembangunan IKS.
Kadar pembangunan ekonomi negara semakin pesat, pertumbuhan sektor perkilangan yang meyakinkan dan wawasan negara ke arah negara perindustrian 2020, ternyata memerlukan sokongan dan sumbangan IKS yang lebih besar dan bermakna. 

Bibliografi
Jabatan Perangkaan (1975).    Industrial Surveys, Kuala Lumpur.  Jabatan Perangkaan (1981).    Manufacturing Sector Surveys, Kuala Lumpur.  Jabatan Perangkaan (1985).    Industrial Sector Surveys, Kuala Lumpur.  Jabatan Perangkaan (1992).    Manufacturing Sector Surveys, Kuala Lumpur.  Jabatan Perangkaan (1994).    Industrial Sector Surveys, Kuala Lumpur.  Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (1992).    Surveys on Small-Scale Industry in Malaysia,    Kuala Lumpur.  Lim Chee P.(1986).    Small Industry in Malaysia.    Kuala Lumpur: Berita Publishing.  MIDA (1985).    Industrial Master Plan 1985-1995. Kuala Lumpur.  Moha Asri A. (1994).    Forms and Characteristics of Inter-firms Linkages    in Urban Economic Activities: A Case Study of    Small Textile and Clothing Firms in Kuala Lumpur.    The Third International Conference on Geography    of the ASEAN Region. 25-29hb Okt. Universiti Malaya,    Kuala Lumpur.  Moha Asri A. (1995).    Globalised Economy and Malaysian Policy Supports    for SMIs: Some Critical Issues and Needs.    International Conference on Globalisation:    Local Response and Challenges.    19-21hb Jan. Universiti Sains Malaysia, Pulau Pinang.  Moha Asri A. (1995).    Industri Kecil di Malaysia:    Kejayaan dan Masa Depan. Kuala Lumpur:    Dewan Bahasa dan Pustaka.  

No comments:

Post a Comment