Saturday, February 27, 2016

Jawapan Ulangkaji Komsas Tingkatan 4

Contoh Jawapan Ulangkaji Komsas Tingkatan 4

Drama – Berkhidmat untuk Negara

i) Alasan-alasan yang diberikan oleh Aiman untuk menolak pelawaan makan tengah hari oleh Nek Sinah ialah Aiman belum berasa lapar dan belum mahu makan lagi dan Aiman menunggu kepulangan  Kak Dapnia dari universiti. Aiman juga akan makan bersama kakaknya. Aiman akan pergi makan ke dapur sendiri jika dia lapar. [2 markah]

ii) Tindakan seseorang anak muda menggunakan kata-kata yang kasar dan kurang sopan apabila bercakap dengan orang yang lebih tua adalah tidak wajar kerana orang tua perlu dihormati. Percakapan yang kasar dan kurang sopan boleh mencetuskan perbalahan dan menjadi tidak harmoni. Amalan tersebut dipandang rendah oleh masyarakat. [3 markah]

iii) kNilai kemanusiaan yang terdapat dalam petikan ialah nilai kasih sayang. Contohnya, Nek Sinah memanggil Aiman dengan kata panggilan ”Nak” walaupun kata panggilan itu tidak disenangi oleh Aiman. Manakala nilai kemanusiaan lain yang terkandung dalam keseluruhan drama ialah nilai tanggungjawab. Contohnya Cikgu Dahari melaksanakan tanggungjawabnya sebagai seorang guru dengan baik apabila turut menyentuh tentang PLKN dalam membentuk generasi muda yang patriotik.  [4 markah]


Prosa Klasik –

i) Maksud penjurit yang terlalu buas  ialah perajurit, askar upahan atau pencuri yang sangat ganas dan jahat.  [2 markah]

ii) Reaksi Bendahara setelah melihat Laksamana masuk menghadap Raja Melaka ialah Bendahara mengatakan bahawa bukti yang dibawa oleh Laksamana merupakan tanda pembunuhan yang sebenar. Menurut Bendahara lagi, hanya Laksamana yang dapat membunuh penjurit itu dan hulubalang-hulubalang lain tidak beruapaya menentang penjurit itu apatah lagi membunuhnya. [3 markah]

iii) Tindakan-tindakan yang akan saya ambil terhadap orang-orang yang membuat pengakuan palsu bahawa merekalah yang telah membunuh Kertala Sari ialah memaafkan dan memberikan nasihat kepada orang tersebut. Orang tersebut juga akan dijatuhkan hukuman penjara atau melakukan kerja-kerja sosial.  [3 markah]
 

Sajak – www.sibermerdeka.com.my

i) Maksud rangkap keempat sajak ”www.sibermerdeka.com.my” ialah dalam keadaan berhati-hati, penyajak terpedaya juga oleh tipu muslihat yang begitu licik dan penyajak bernasib baik kerana cepat sedar akan tipu muslihat tersebut.  [2 markah]

ii) Langkah-langkah yang perlu diambil untuk mengurangkan masalah yang akan timbul pada kemudian hari ialah kita perlu membuat perancangan awal tentang sesuatu yang akan dilakukan. Kita juga perlu mencari jalan penyelesaian bagi mengatasi masalah yang bakal dihadapi dan mengenal pasti kemungkinan yang akan timbul. Kita juga boleh mendapatkan nasihat dari pihak yang berpengalaman.  [3 markah]

iii) Dua nilai yang terdapat dalam sajak di atas ialah nilai berwaspada contohnya, penyajak berazam untuk lebih berhati-hati pada masa akan datang. Nilai bijaksana juga diselitkan sebagai contoh, penyajak akan berhujah dengan dirinya sebelum membuat keputusan. Nilai keinsafan juga dapat dikesan apabila penyajak berasa insaf dan berazam untuk tidak mengulangi kesilapan yang pernah dilakukannya.   [4 markah]

 Semoga berjaya:)

1 comment:

  1. SRP.SPMV.Nombor Angka giliran 8252-1119-Rislian bin syaripuddin Negeri sembilan darul ehsan Mohon angkatan Tentera Malaysia.Asrama putra rugby merotai 1988-1990 Tawau Sabah.

    ReplyDelete