Wednesday, June 29, 2016

Persoalan Novel Songket Berbenang Emas



Persoalan- persoalan yang terdapat dalam Novel 
Novel Songket Berbenang Emas(Khairuddin Ayip)

Bil
Persoalan
Contoh
1
Kejayaan hasil daripada kegigihan dalam pelajaran
Dahlia tetap mengutamakan pelajarannya dengan meminjam nota dan bertanyakan kepada Kavita dan Siti Wangi walaupun terpaksa membantu ayahnya menguruskan rumah tangga setelah ibunya di hantar ke hospital untuk menerima rawatan.
2
Kemiskinan dalam masyarakat kampung
Dalam dunia moden hari ini, masih ada masyarakat kampung yang masih miskin dan memerlukan bantuan untuk menjalani kehidupan.  Contohnya keluarga Embong yang masih miskin dan terpaksa berhutang dengan Tauke Lim untuk membeli barang-barang keperluan harian.
3
Berani bertindak dalam menghadapi situasi yang bahaya
Embong berjaya mengalahkan ular sawa yang cuba membelitnya sewaktu memotong kelapa sawit di ladang

4
Keinsafan selepas menyedari kesilapan diri
Nek Kiah akhirnya insaf setelah Dahlia yang selama ini dibencinya telah menjaga dan merawatnya ketika terlantar sakit.  Begitu juga dengan Abu Bakar yang selalu berpeleseran sehingga sanggup mencuri kambing ayahnya berubah sikap apabila ditempelak oleh rakan-rakannya sendiri.

5

Bantu membantu dalam menyelesaikan masalah yang dihadapi oleh orang lain
Kavita membantu Dahlia mengulang kaji pelajaran dengan memberikan nota pelajaran sepanjang ketidakhadirannya ke sekolah.  Najib cuba menghulurkan bantuan kewangan semasa Nek Kiah beria-ia ingin menjual tanahnya yang menjadi tempat tinggal Dahlia dan keluarganya.

6
Kepentingan ilmu bagi mengubah taraf hidup
Embong amat mementingkan pelajaran dan sering menasihatkan anak-anaknya agar belajar bersungguh-sungguh.  Embong mengharapkan anak-anaknya dapat mengubah taraf hidup keluarga setelah berjaya dalam pelajaran mereka nanti.

7
Pengamalan ilmu hitam dalam kalangan masyarakat
Penemuan dua biji telur ayam berwarna hitam yang berisi jarum, cincin akek, butiran pasir dan dua batang paku oleh Abu Bakar di bawah rumah mereka menunjukkan bahawa masyarakat masih mengamalkan ilmu hitam untuk menganiaya orang lain.

8
Bertanggungjawab dalam menjalankan tugas
Haji Sulaiman telah menjalankan tanggungjawabnya sebagai ketua kampung dengan baik.  Haji Sulaiman banyak membantu keluarga Embong walaupun orang kampung menyisihkan mereka.  Haji Sulaiman mencadangkan agar Saleha dihantar ke hospital untuk mendapatkan rawatan.

9
Semangat kejiranan walaupun berlainan bangsa
Tauke Lim banyak membantu keluarga Embong yang sering menghadapi masalah kewangan.  Tauke Lim membenarkan Embong berhutang di kedainya.  Tauke Lim juga menghulurkan RM300 untuk Dahlia yang dapat melanjutkan pelajaran ke Jepun.

10
Pengekalan identiti bangsa dan jati diri
Azhari menghadiahkan sepasang kain songket berbenang emas kepada Dahlia sebagai tanda kenang-kenangan dan berpesan kepada Dahlia agar sentiasa mengingati asal-usulnya sebagai orang Melayu



Selamat mengulangkaji (^_^)

Wednesday, June 22, 2016

Peribahasa

BIDALAN

1.       Adat periuk berkerak, adat lesung berdedak [jika ingin hidup mewah, mestilah berusaha]
2.       Berfikir sebelum berkata, berunding sebelum dibuat [Berfikir baik-baik dahulu kemudian baru bertindak]
3.      Berjagung-jagung dahulu sementara menantikan padi masak [Membuat kerja sambilan sementara mendapat pekerjaan yang tetap]
4.         Berpahit-pahit dahulu supaya manis kemudian [Membuat kerja yang susah dahulu, yang senang dibuat kemudian]
5.      Bersihkan halaman sendiri dulu, baru bersihkan halaman orang [Membetulkan kesalahan sendiri dahulu sebelum betulkan kesalahan orang lain]
6.      Biar alah sabung, asalkan menang sorak [Tewas dalam perlawanan naun masih bercakap besar]
7.        Biar buruk kain dipakai, asalkan pandai mengambil hati [Biar miskin asalkan berbudi bahasa dan berhati mulia]
8.        Biar lambat asalkan selamat [Membuat sesuatu kerja biarlah cermat dan berhati-hati]
9.      Biar mati anak jangan mati adat [Pegangan adat yang kuat sehingga sanggup anak menjadi korban]
10.     Biar pecah di perut, jangan pecah di mulut [Menyimpan rahsia]
11.     Biar putih tulang jangan putih mata [Sanggup mati daripada menyerah kalah]
12.   Buang yang keruh, ambil yang jernih [Melupakan perkara yang tidak baik dan mengingati perkara yang baik  sahaja]
13.    Buat baik berpada-pada, buat jahat jangan sekali [Berbuat baik biarlah sekadarnya tetapi perbuatan jahat jangan sekali-kali dicuba]
14.   Daripada hidup bergelumang tahi, baik mati bertimbun bunga [Daripada hidup menanggung dosa, lebih baik mati meninggalkan nama yang baik]
15.    Genggam bara api biar sampai jadi arang [Apabila melakukan sesuatu pekerjaan yang susah, kita hendaklah bersabar dan menyempurnakan pekerjaan itu sehingga berjaya]
16.    Habis akal, baru tawakal [Sesudah habis segala ikhtiar barulah berserah kepada Tuhan]
17.   Hancur badan dikandung tanah, budi baik dikenang juga [Budi baik seseorang tidak akan dilupakan walaupun orang itu sudah meninggal dunia]
18.   Hidup kayu berbuah, hidup manusia biar berjasa [Berbuat baik semasa masih hidup untuk diri sendiri dan masyarakat]
19.   Ingat sebelum kena, jimat (hemat) sebelum habis [Perlu berwaspada setiap masa supaya tidak terpedaya dan habis harta]
20.   Jangan dibangunkan kucing tidur [Jangan diganggu musuh yang tidak berbuat apa-apa]
21.   Jangan lemparkan pancing tiada berumpan [Sia-sia mengharapkan sesuatu kalau tidak cukup syarat]
22.  Jangan mengukur baju orang di badan sendiri [Kita tidak boleh menyamakan kedudukan orang lain dengan kedudukan diri sendiri]
23.   Kail panjang sejengkal, jangan lautan hendak diduga [Jangan lakukan apa-apa yang tidak mampu kita lakukan]
24.   Masuk kandang kambing mengembek, masuk kandang kerbau menguak [Apabila kita berada di tempat orang, kita hendaklah mengikut adat resam masyarakat di situ]
25.    Sediakan payung sebelum hujan [Bersiap sedia sebelum melakukan sesuatu]
26.  Sedikit-sedikit lama-lama jadi bukit [Kesabaran dalam melakukan sesuatu akan memberikan hasil yang memuaskan]
27.  Segan berkayuh perahu hanyut [Orang yang malas berusaha akan menghadapi kesusahan]
28.   Sehari selembar benang, lama-lama menjadi kain [Tekun dan sabar membuat sesuatu kerja, akhirnya memperoleh kejayaan]
29.   Sepakat kita kuat, berpecah kita rebah [Hendak bersatu padu agar beroleh kekuatan untuk menang]
30.   Tak dapat berjalan tegak, berengsot-engsot pun sampai juga [Jika sesuatu kerja itu tidak dapat disudahkan dengan sekali gus, lakukanlah secara beransur-ansur]

Selamat mengulangkaji(^_^)


Wednesday, June 15, 2016

KRITIKAN SOSIAL: Jendela Menghadap Jalan

DALAM SESEBUAH NOVEL, TERDAPAT KRITIKAN SOSIAL PENGARANG SAMA ADA SECARA LANGSUNG ATAU TIDAK LANGSUNG.  HURAIKAN KRITIKAN SOSIAL YANG TERDAPAT DALAM NOVEL YANG ANDA PELAJARI.
(Contoh Jawapan)
Novel yang saya kaji ialah novel Jendela Menghadap Jalan karya Ruhaini Mat Darin. Pengarang ada menyentuh kritikan sosial dalam novel ini. Pengarang menyentuh tentang sikap tidak bertanggungjawab ketua keluarga yang menjadi amalan dalam kalangan masyarakat.  Sebagai ketua keluarga, banyak tanggungjawab yang perlu digalas.  Watak Seman, suami kepada Che Jah menunjukkan kegagalannya sebagai ketua keluarga..  Seman seorang kaki botol, suka berjudi dan kaki judi.  Seman tidak menunjukkan contoh yang baik terhadap anak-anaknya dan dia juga seorang yang panas baran.  Anak-anak Seman gagal dididik dengan nilai murni sehingga mereka tercicir dalam pelajaran dan terlibat dalam masalah penagihan dadah. Mereka juga sering dituduh mencuri bukan sekadar harta ibu bapa mereka malahan harta penduduk kampung.  Seman akhirnya ditangkap kerana mencuri kubah masjid setelah perbuatannya dibongkar oleh Che Jah, isterinya.
Selain itu, kritikan sosial yang diutarakan oleh pengarang adalah berkenaan masalah keruntuhan akhlak yang berlaku dalam kalangan remaja.


 Selamat mengulangkaji:)

PERWATAKAN WATAK UTAMA: Jendela Menghadap Jalan

BERDASARKAN SEBUAH NOVEL YANG ANDA KAJI, HURAIKAN PERWATAKAN WATAK UTAMA YANG DIPAPARKAN OLEH PENGARANG.
(Contoh Jawapan)
Novel yang saya kaji ialah novel Jendela Menghadap Jalan.  Watak utama dalam novel ini ialah Lili, seorang gadis berusia 17 tahun yang diminta oleh ibunya untuk bercuti di kampung datuknya di Terengganu. Watak utama merupakan seorang yang pendiam.(<–perwatakan).  Lili lebih banyak mendiamkan diri ketika dalam perjalanan pulang ke kampung datuknya dan lebih banyak mendengar Geetha berbicara.  Nenek Lili juga mengakui bahawa dia seorang yang pendiam.(<–bukti)
Watak utama juga seorang yang prihatin.(<–perwatakan).  Lili mengambil berat terhadap masalah yang dihadapi oleh keluarga Che Jah yang terpaksa berdepan dengan masalah sosial anak-anaknya iaitu Haziq dan Rafiq. Sikap prihatin ini membuatkan Lili ingin membantu Che Jah menyelesaikan kemelut keluarga yang dihadapi olehnya walaupun Lili masih muda.(<– Bukti)

Selain itu, watak utama juga seorang yang pemaaf.(<– perwatakan)  Walaupun Lili telah disakiti, diculik oleh anak Che Jah dan dibawa lari ke dalam hutan sebagai tebusan, Lili tidak berdendam sebaliknya dia memaafkan perbuatan dua beradik itu.  Lili sendiri berjumpa dengan Che Jah dan menjelaskan keadaan yang telah dihadapinya tanpa sebarang rasa marah kerana dia merasakan anak-anak Che Jah layak mendapat peluang untuk berubah.(<–Bukti)

Selamat mengulangkaji:)

Sunday, June 12, 2016

NILAI KEMASYARAKATAN: Jendela Menghadap Jalan

JELASKAN NILAI KEMASYARAKATAN DALAM NOVEL YANG ANDA PELAJARI.
(Contoh Jawapan)
Berdasarkan novel Jendela Menghadap Jalan karya Ruhani Mat Darin, terdapat beberapa nilai kemasyarakatan yang dipaparkan untuk panduan. Nilai kerjasama (pernyataan umum) dipaparkan melalui peristiwa datuk, nenek, Rasid, Lili, Geetha dan Danel bekerjasama untuk membantu menyelamatkan Rafiq dan Haziq daripada menjadi mangsa kemarahan penduduk kampung yang geram dengan sikap mereka yang suka menimbulkan masalah seperti mencuri dan menagih dadah.  Lili juga bekerjasama dengan Puan Hamimah, pegawai dari Jabatan Kebajikan Masyarakat untuk membantu Che Jah menyelesaikan masalah rumah tangganya.

Nilai kasih sayang (pernyataan umum) pula jelas dibuktikan melalui keluarga datuk.  Datuk dan nenek amat menyayangi Lili dan begitu juga hubungan antara Geetha dan ibunya, Mak Cik Letchumi.  Nenek melarang Lili merayau-rayau di sekitar kampung selepas Lili diculik oleh anak Che Jah kerana tidak mahu pisang berbuah dua kali. Nilai kerajinan (pernyataan umum) turut digarap melalui Lili yang rajin membantu neneknya membasuh pinggan dan mengemas di dapur selepas tetamu datuk pulang.  Geetha pula membantu nenek memasak semasa dia berada di rumah nenek Lili.  Datuk juga rajin masuk ke hutan untuk mencari akar-akar kayu dan daun-daun herba.

Selamat mengulangkaji:)

PERSOALAN KASIH SAYANG ANTARA AHLI KELUARGA: Jendela Menghadap Jalan

HURAIKAN PERSOALAN KASIH SAYANG ANTARA AHLI KELUARGA YANG TERDAPAT DALAM NOVEL YANG ANDA PELAJARI.
(Contoh Jawapan)
Dalam novel Jendela Menghadap Jalan karya Ruhani Mat Darin, terdapat persoalan kasih sayang antara ahli keluarga yang diutarakan.Persoalan kasih sayang ibu yang mendalam terhadap anaknyadipaparkan melalui watak ibu Lili yang sangat sayang akan anaknya Lili .  Ibu Lili menolong mengeringkan tubuh anaknya yang baru selesai mandi walaupun Lily sudah berusia 17 tahun. Ibu Lili juga mengupas-usap rambut Lili dalam usaha memastikan Lili rela hati mengikut permintaannya pulang ke kampung.
Persoalan kasih sayang seorang anak terhadap ibu pula digambarkan melalui watak Lili yang berusaha mematuhi permintaan ibunya untuk menghabiskan cuti persekolahan terakhirnya di kampung datuk. Lili sebenarnya berhasrat untuk bersama-sama teman sekelas terutama sekali menyertai majlis perpisahan pengetua sekolah.  Lili tidak membantah kerana dia ingin melihat ibunya gembira. Selain itu, persoalan kasih sayang terhadap cucu dibuktikan melalui watak nenek dan datuk yang begitu risau setelah Lili dilarikan ke dalam hutan oleh Haziq dan Rafiq.  Setelah Lili diselamatkan, nenek melarang Lili keluar dari rumah tanpa sebab.
*Sebelum menulis contoh peristiwa / bukti , pastikan ada PERNYATAAN UMUM.


Selamat mengulangkaji:)