1. Adat periuk berkerak, adat lesung berdedak
[jika ingin hidup mewah, mestilah berusaha]
2. Berfikir sebelum berkata, berunding sebelum
dibuat [Berfikir baik-baik dahulu kemudian baru bertindak]
3. Berjagung-jagung dahulu sementara
menantikan padi masak [Membuat kerja sambilan sementara mendapat pekerjaan
yang tetap]
4. Berpahit-pahit dahulu supaya manis kemudian
[Membuat kerja yang susah dahulu, yang senang dibuat kemudian]
5. Bersihkan halaman sendiri dulu, baru
bersihkan halaman orang [Membetulkan kesalahan sendiri dahulu sebelum
betulkan kesalahan orang lain]
6. Biar alah sabung, asalkan menang sorak [Tewas
dalam perlawanan naun masih bercakap besar]
7. Biar buruk kain dipakai, asalkan pandai
mengambil hati [Biar miskin asalkan berbudi bahasa dan berhati mulia]
8. Biar lambat asalkan selamat [Membuat
sesuatu kerja biarlah cermat dan berhati-hati]
9. Biar mati anak jangan mati adat [Pegangan
adat yang kuat sehingga sanggup anak menjadi korban]
10. Biar pecah di perut, jangan pecah di mulut [Menyimpan rahsia]
11. Biar putih tulang jangan putih mata [Sanggup mati daripada menyerah
kalah]
12. Buang yang keruh, ambil yang jernih [Melupakan perkara yang tidak
baik dan mengingati perkara yang baik
sahaja]
13. Buat baik berpada-pada, buat jahat jangan sekali [Berbuat baik
biarlah sekadarnya tetapi perbuatan jahat jangan sekali-kali dicuba]
14. Daripada hidup bergelumang tahi, baik mati bertimbun bunga [Daripada
hidup menanggung dosa, lebih baik mati meninggalkan nama yang baik]
15. Genggam bara api biar sampai jadi arang [Apabila melakukan sesuatu
pekerjaan yang susah, kita hendaklah bersabar dan menyempurnakan pekerjaan itu
sehingga berjaya]
16. Habis akal, baru tawakal [Sesudah habis segala ikhtiar barulah
berserah kepada Tuhan]
17. Hancur badan dikandung tanah, budi baik dikenang juga [Budi baik
seseorang tidak akan dilupakan walaupun orang itu sudah meninggal dunia]
18. Hidup kayu berbuah, hidup manusia biar berjasa [Berbuat baik semasa
masih hidup untuk diri sendiri dan masyarakat]
19. Ingat sebelum kena, jimat (hemat) sebelum habis [Perlu berwaspada
setiap masa supaya tidak terpedaya dan habis harta]
20. Jangan dibangunkan kucing tidur [Jangan diganggu musuh yang tidak
berbuat apa-apa]
21. Jangan lemparkan pancing tiada berumpan [Sia-sia mengharapkan
sesuatu kalau tidak cukup syarat]
22. Jangan mengukur baju orang di badan sendiri [Kita tidak boleh menyamakan
kedudukan orang lain dengan kedudukan diri sendiri]
23. Kail panjang sejengkal, jangan lautan hendak diduga [Jangan lakukan
apa-apa yang tidak mampu kita lakukan]
24. Masuk kandang kambing mengembek, masuk kandang kerbau menguak [Apabila
kita berada di tempat orang, kita hendaklah mengikut adat resam masyarakat di
situ]
25. Sediakan payung sebelum hujan [Bersiap sedia sebelum melakukan
sesuatu]
26. Sedikit-sedikit lama-lama jadi bukit [Kesabaran dalam melakukan
sesuatu akan memberikan hasil yang memuaskan]
27. Segan berkayuh perahu hanyut [Orang yang malas berusaha akan
menghadapi kesusahan]
28. Sehari selembar benang, lama-lama menjadi kain [Tekun dan sabar
membuat sesuatu kerja, akhirnya memperoleh kejayaan]
29. Sepakat kita kuat, berpecah kita rebah [Hendak bersatu padu agar
beroleh kekuatan untuk menang]
30. Tak dapat berjalan tegak, berengsot-engsot pun sampai juga [Jika
sesuatu kerja itu tidak dapat disudahkan dengan sekali gus, lakukanlah secara
beransur-ansur]
Selamat mengulangkaji(^_^)
Selamat mengulangkaji(^_^)
No comments:
Post a Comment