Saturday, January 23, 2016

Antalogi Sejadah Rindu : Berbuat Istana Zaman Dahulu

Seloka – Berbuat Istana Zaman Dahulu (Za’ba) 

MAKSUD 

RANGKAP 1
Baginda sultan menitahkan empat orang pembesar untuk membina istana sebagai mercu tanda kotanya. Oleh hal yang demikian, Pawang Raja telah mengerah rakyat untuk bekerja keras. Sebanyak empat puluh empat orang jurubina dan pandai tukang dan projek pembinaan itu dijalankan siang dan malam tanpa henti. 

RANGKAP 2
Pembinaan istana baginda itu menelan masa tujuh bulan sehingga siapkan sempurna dengan perabot dan segala peralatan di dalamnya. Istana yang disiapkan itu tersergam indah dengan sembilan ruang utama yang memiliki sepuluh batang tiang penyokong. Di dalam istana itu, ada kain yang disusun dan diikat serong dengan puncanya tergantung dan memiliki kawasan anjung yang tinggi.

RANGKAP 3
Di dalam istana itu, ada tiga sudut untuk kegunaan lapan orang menteri yang utama yang dihias dengan tiga batang tiang yang dinamakan maharaja lela. Di tengah- tengah istana itu, ada sebatang tiang besar yang kukuh yang bertanggam dengan ukiran corak ular yang garang. Kayu yang melintang pada atap istana pula bercorak seorang puteri yang menyembah dan sebatang kayu yang melengkung pada atap istana juga bercorak ukiran helang di sekelilingnya. 

RANGKAP 4
Bahagian tingkap istana raja dibina dengan seni yang istimewa, yakni berukir corak bunga dan ular sawa yang berbaring dengan lemah longlai. Di samping itu, jendela istana pula diperbuat daripada batu yang kukuh dan bertiang. Seni bina ini dipercantik dengan ukiran Jawa dan Cina. Selepas itu, garam ditaburkan di sekeliling istana yang baharu untuk membuang segala kekotoran dan anasir jahat yang cuba dibawa oleh pendatang asing atau nakhoda. Pada pintu istana yang besar itu, ukiran bunga kenanga amat jelas kelihatan bersama corak ular. Demikianlah keunikan istana raja yang siap dibina.

RANGKAP 5
Setelah istana siap dibina, tukang bina istana pun meninggal dunia. Kesetiaan jurubina istana ini menyempurnakan pembinaan istana ini amat terserlah apabila tiada sesiapa yang dapat meniru teknik dan gaya pembinaan istana tersebut. Apabila istana siap dibina, pembesar yang bertanggungjawab dalam pembinaan itu mempersembahkan istana tersebut kepada baginda raja dan permaisuri.

TEMA DAN PERSOALAN
Tema seloka ini ialah keunikan seni bina istana yang dibina oleh jurubina yang setia. Hal ini dapat dibuktikan apabila tukang bina istana meninggal dunia selepas istana siap dibina dan memastikan tiada sesiapa yang mampu meniru pembinaan itu.

PERSOALAN
(a) Ketaatan kepada raja.
               Apabila empat orang pembesar dititahkan oleh raja supaya sebuah istana dibina, mereka segera menyampaikan titah raja itu kepada Pawang Raja. Empat puluh empat orang tukang segera dikumpulkan kemudiannya. 
(b) Kegigihan bekerja. Keunikan seni bina istana.
               Empat puluh empat orang tukang yang membina istana raja gigih bekerja siang dan malam tanpa henti supaya pembinaan istana terhasil mengikut jadualnya.
 (c) Kemahiran ilmu pertukangan masyarakat zaman dahulu.
               Istana raja yang siap dibina itu memperlihatkan kemahiran ilmu pertukangan orang Melayu pada zaman dahulu. Pelbagai corak direka pada tiang, kasau, pintu dan lain-lain.

NILAI MURNI
(a) Nilai ketaatan kepada pemimpin. Orang besar empat dan Pawang Raja taat akan perintah raja untuk membina istana berkota. Pawang Raja mengerahkan empat puluh empat orang tukang untuk membina istana tersebut. 
(b) Nilai kegigihan. Empat puluh empat orang tukang gigih bekerja membina istana tanpa henti sehingga istana itu dapat dibina dalam masa tujuh bulan.
(c) Nilai daya usaha. Para pekerja tersebut berusaha dengan menggunakan kreativiti mereka dalam bidang seni bina sehingga siap sebuah istana yang indah dan berukir cantik.

PENGAJARAN
(a) Kita mestilah setia kepada raja dan menjalankan titah perintah raja dengan sempurna.
(b) Kita mestilah bertanggungjawab dalam semua tugasan yang kita jalankan.
(c) Kita mestilah memegang amanah yang diberikan kepada kita oleh raja.
(d) Kita mestilah gigih mengerjakan sesuatu tugasan sehingga selesai.
(e) Kita mestilah taat setia kepada raja dan mengikut titah perintah baginda.

Selamat maju jaya:)

No comments:

Post a Comment