Burung Terbang Dipipiskan Lada
Sinopsis
Cerita memaparkan percubaan raja Siam, Bubunnya hendak menyerang kerajaan
Melaka yang tidak kesampaian kerana kebijaksanaan pemerintah dan kesaktian
hulubalang Melaka.
Ceritanya bermula pada zaman dahulu kala negeri Siam yang dikenali sebagai
Syahrunnuwi begitu kuat sehingga semua kerajaan bawah angin telah ditakluki oleh
Siam kecuali kerajaan Melaka. Apabila Melaka yang diperintah oleh Sultan
Muzaffir Syah enggan memberi surat sebagai tanda tunduk kepada Siam, raja Siam
telah menyuruh panglimanya Awi Cakri membawa hulubalang dan rakyatnya yang
sangat ramai untuk menyerang Melaka melalui hulu Pahang. Apabila Sultan
Muzaffir Syah mendengar berita tentang rancangan serangan Siam itu, baginda pun
menghimpunkan rakyat Melaka dari segenap pelusuk negeri. Tun Perak dari Kelang
telah datang membawa bersama-sama dengan anak isteri
masing-masing. Pada masa itu, Seri Amerta dilantik oleh sultan sebagai bentara
kerana kecerdikan dan kepetahannya berkata-kata.
Seri Amerta telah diminta oleh sultan untuk menyiasat tindakan Tun Perak tersebut.
Tindakan Tun Perak itu dipersoalkan sebanyak tiga kali oleh Seri Amerta. Tun
Perak meminta Seri Amerta jangan mencampuri urusan orang lain. Baginda menjelaskan
sekiranya orang Kelang yang datang dari jauh itu ditemani anak isteri
masing-masing, mereka akan berperang dengan lebih bersemangat. Apabila hal ini
disampaikan kepada Duli Yang diPertuan, baginda amat bersetuju dengan tindakan
Tun Perak itu lalu menitahkan Tun Perak terus bermastautin di Melaka. Apabila
serangan Siam itu telah dapat dipatahkan, Tun Perak telah dijadikan sebagai
bentara di Melaka.
Tidak lama kemudian Seri Amerta menyuruh Tun Perak menghadap kerana ada
seorang orang Kelang mengadu bahawa dirinya dianiayai oleh Tun Perak. Setelah
disoal siasat, Tun Perak menyatakan bahawa Seri Amerta tidak memahami tugas dan
tanggungjawab diamanahkan oleh Sultan. Sultan
bersetuju dengan penjelasan Tun Perak lalu melantiknya sebagai Perdana Menteri
dengan gelaran Paduka Raja yang setaraf dengan Seri Nara Diraja.
Seri Nara Diraja sudah tua dan tidak mempunyai anak lelaki,hanya ada
seorang anak perempuan yang bernama Tun Putih hasil perkahwinan dengan anak
bendahara. Setelah isterinya itu mangkat
barulah Seri Nara Diraja mengakui bahawa baginda mempunyai seorang anak lelaki
yang bernama Tun Nina Madi hasil perhubungan dengan gundik istana.
Pada masa itu masyarakat Melayu telah berpecah kepada dua puak iaitu puak
Paduka Raja dan puak Seri Nara Diraja kerana kedua-duanya mempunyai taraf yang
sama. Kedua-dua orang besar ini tidak dapat bekerjasama kerana berbeza
pendapat. Apabila hal ini diketahui oleh Sultan Muzaffir Syah, baginda amat
kecewa kerana bimbang negara akan lemah jika pembesarnya saling tidak
bermuafakat. Baginda telah memikirkan jalan penyelesaian dengan mencai jodoh
baru kepada Seri Nara Diraja, tetapi semuanya telah ditolak oleh Seri Nara
Diraja sehinggalah dia dijodohkan dengan Tun Kudu anak perempuan Bendahara Seri
Wak Raja, saudara kepada Paduka Raja. Justeru, hubungan Seri Nara Diraja dengan
Paduka Raja kembali baik apabila baginda bersetuju supaya Paduka Raja dilantik
sebagai bendahara manakala Seri Nara Diraja menjadi penghulu bendahari.
Tidak lama kemudian orang Siam di bawah pimpinan Awi Dicu menyerang Melaka. Sultan mengetahui hal
tersebut lalu menitahkan Paduka Raja dengan diiringi Seri Bija Diraja dan
segala hulubalang untuk mempertahankan Melaka. Anak Seri Bija Diraja bernama
Tun Umar yang berkelakuan aneh telah disuruh melanggar perahu pihak Siam, tiga
buah perahu Siam telah dikalahkan dengan hanya sebuah perahunya. Pihak Siam menjadi
takut dan membatalkan hasrat menyerang Melaka. Bendahara Paduka Raja
menggunakan strategi memasangkan puntung api pada pokok-pokok di sepanjang
pantai seolah-olah banyak perahu perang Melaka yang dibawa untuk mempertahankan
Melaka. Angkatan perang Siam telah berundur. Setelah pihak Siam berundur, Bendahara
Paduka Raja dan orang-orangnya telah dianugerahkan persalinan yang mulia.
Walau bagaimanapun, berita kegagalan serangan Siam itu sampai ke pengetahuan
Paduka Bubunnya, raja Siam itu amat marah dan diri sendiri membuat keputusan
untuk menyerang Melaka tetapi anaknya Cau Pandan menawarkan diri untuk
menyerang Melaka. Raja Siam bersetuju lalu menggunakan lapan ratus buah kapal
perang besar dan banyak kapal perang kecil di bawah pimpinan Pra Kelong untuk
membantu Cau Pandan menyerang Melaka. Apabila berita rancangan Siam untuk
menyerang Melaka itu diketahui oleh sultan Melaka, Sidi Arab yang mempunyai
kesaktian ilmu memanahnya telah memanah Cau Pandan yang berada di Siam.
Akhirnya Cau Pandan yang belum sempat menyerang Melaka itu telah terkena
panahan tersebut di dada, telah muntah darah lalu mati. Kesaktian Sidi Arab itu
amat dihargai sultan dan diberi ganjaran yang setimpalnya.
Setelah empat puluh dua tahun Sultan Muzaffir Syah memerintah Melaka,
akhirnya baginda mangkat dan digantikan oleh anaknya Raja Abdullah gelaran
Sultan Mansur Syah. Ketika menaiki takhta, Sultan Mansur Syah berusia 27 tahun.
Baginda beristerikan anak Seri Nara Diraja iaitu Tun Putih Nur Pualam. Baginda
seorang raja yang kacak, adil, dan murah hati yang tiada tolok bandingnya pada
masa itu.
Tema
Persoalan
- Kebijaksanaan Tun Perak dalam mengatur strategi menghalang serangan dari Siam
Contoh: Tun Perak membawa rakyat dari Kelang bersama-sama
anak isteri untuk menaikkan semangat berperang
Tun Perak mengikat puntung api pada pokok bakau, pokok
nyirih dan pokok api-api di sepanjang pantai bagi menakutkan pihak musuh.
- Semangat tidak mudah berputus asa.
Siam mengatur serangan ke atas Melaka sebanyak tiga kali
walaupun kesemua percubaan tersebut menemui kegagalan.
- Kepentingan permuafakatan antara pemimpin memperkukuh ketahanan negara.
Konflik antara Tun Perak dengan Seri Nara Diraja telah
menyebabkan masyarakat berpecah yang boleh melemahkan kekuatan negara.
- Perkahwinan dapat mengeratkan perhubungan persaudaraan.
Contohnya, Sultan telah menjodohkan Tun Kudu anak saudara
Tun Perak dengan Sri Nara Diraja.
Latihan
Baca petikan
prosa tradisional di bawah dengan teliti,kemudian jawab soalan-soalan yang
berikutnya dengan menggunakan ayat anda sendiri.
Maka ada seorang orang Kelang mengatakan dirinya
teraniaya oleh Tun Perak sedikit. Maka ia berdatang sembah ke bawah duli
baginda. Maka baginda memberi titah kepada bentara Seri Amerta, menyuruh
berkata kepada Tun Perak. Maka Tun Perak pun datang menghadap. Maka Seri Amerta
pun berkata kepada Tun Perak, “Orang ini ya Tuan Tun Perak, mengadukan halnya
ke bawah Duli Yang Dipertuan, mengatakan dirinya teraniaya oleh Tun Perak.
Mengapakah maka demikian pekerti tuan hamba?”
Maka diam Tun Perak tiada disahutinya kata Seri Amerta itu.
Setelah tiga kali Seri Amerta berkata-kata itu, maka barulah disahutinya oleh
Tun Perak, katanya, “Tuan Seri Amerta, akan tuan hamba dijadikan Yang Dipertuan Bentara, dianugerahi
pedang sebilah itu jua tuan hamba peliharakan baik-baik, usahakan jangan diberi
berkarat kemakanan. Akan pekerjaan kami orang memegang negeri di mana
tuan hamba tahu? Jikalau sebesar tempurung sekalipun, negeri namanya;baik juga
kepada kami, maka kami kerjakan, kerana Yang Dipertuan tahu akan baiknya juga
kepada kami, tiada tahu akan jahatnya. Tetapi jikalau Duli Yang Dipertuan
hendakmencerca hamba sebab orang itu, pecatlah hamba dahulu, maka cercakan
hamba dengan dia. Jikalau hamba belum dipecat, bagaimana hamba hendak dicerca?”
Syahadan, maka berkenan Sultan Muzaffar Syah mendengar
kata Tun Perak itu. Pada hati baginda, “Adapun Tun Perak ini tidaklah patut
jadi bentara lagi, patut menjadi Perdana Menteri.”
(Dipetik daripada
‘Burung Terbang Dipipiskan Lada’ dalam antologi Sejadah Rindu, Tingkatan
5)
(i) Berikah
maksud pekerjaan kami orang memegang negeri. (2 m)
(ii) Sultan
Muzaffar Syah melakukan beberapa perkara setelah mendengar aduan orang Kelang. Nyatakan
perkara-perkara tersebut. (3 m)
(iii) Pada pendapat anda, apakah akibatnya
jika Sultan Muzaffar Syah terburu-buru mempercayai aduan orang Kelang itu? (3 m)
Selamat menjawab...:)
Mana jawapan?
ReplyDeleteMana jawapan?
ReplyDeletetindakan tindakan paduka bubunya setelah mendapat tahu bahawa sultan muzaffar syah tidak mahu berada di bawah taklukan benua siam ?
ReplyDelete