Saturday, January 2, 2016

Azam...

Pada era yang penuh dengan kecanggihan ini, masih perlukah azam dan minda yang baru menjelangnya tahun baru? Secara umumnya, sebagai seorang individu, kita perlu sentiasa berfikiran positif dan sentiasa juga mahu maju ke hadapan dalam melakukan apa saja perkara yang baik. Sebagai umat Islam pula, kita digesa untuk sentiasa bermuhasabah dengan memperbaiki diri dan amalan dalam kehidupan. Ini kerana seorang individu muslim yang baik adalah mereka yng sentiasa berusaha untuk menjadi individu yang terbaik, di mana amalan dan kehidupannya pada hari ini lebih baik daripada yang semalam, manakala kehidupan pada keesokan pula seharusnya lebih baik daripada hari ini.

Matlamat dan usaha ke arah kebaikan pula tidak tertumpu hanya pada ketika atau waktu yang tertentu sahaja, seperti menjelang tahun baru dan sebagainya, bahkan ia dituntut berlaku pada setiap masa. Gambaran ini memberi implikasi bahawa berazam dan berusaha melakukan kebaikan tidak mempunyai had tempat dan masa. Malah setiap masa itu perlu dipenuhi dengan azam dan usaha yang kental untuk menjadi yang terbaik. Ia bertepatan dengan sebuah hadis Rasul S.A.W yang diriwayatkan oleh Imam Al Baihaqi di mana Allah lebih suka kepada seorang muslim yang melakukan apa jua perkara secara sempurna dan teratur, malah sentiasa pula berusaha untuk memperbaiki usahanya pada setiap ketika. Secara rasionalnya, persediaan kita pada setiap waktu dan ketika adalah untuk berubah menjadi yang lebih baik di masa akan datang dan meninggalkan semua kefasadan silam. Objektif inilah antara yang tersirat di sebalik azam baru menjelang setiap kali tahun baru.

Azam merupakan matlamat yang menjadi impian seseorang. Impian ini bukan angan-angan kosong, tetapi seharusnya adalah hasrat dan keinginan yang realistik. Hasrat yang realistik ini pula bergantung kepada sikap yang optimistik serta perancangan dan perlaksaan yang rapi. Persoalan lain timbul apabila terdapat mereka yang berazam, namun disudahi dengan kegagalan. Memang wujud perbezaan antara orang yang gagal dengan mereka yang berjaya walaupun mempunyai azam dan semangat yang berkobar-kobar. Betapa ramai juga individu yang merancang tetapi merancang untuk menjadi gagal, walaupun sebenarnya tiada sesiapa yang mahukan kegagalan. Namun pada asasnya, individu yang berjaya adalah mereka yang bukan semata-mata merancang, tetapi juga melaksanakan apa yang telah mereka rancangkan. Tujuannya ialah agar memperolehi hasilnya dalam jangkamasa yang tertentu, di samping sentiasa memperbetulkan strategi sekiranya terdapat gangguan yang boleh mencetuskan kegagalan.

Sebagai manusia biasa yang normal, sudah pasti kita tidak mahu ketinggalan dalam mengharungi kehidupan yang penuh cabaran ini. Oleh yang demikian, dalam memenuhi matlamat untuk berubah, terdapat beberapa perkara asas yang perlu dihayati, yang merupakan tunggak dalam proses untuk berubah ke arah kebaikan. Pertamanya, kesedaran untuk berubah. Seseorang itu perlu menyedari mengapa ia perlu berubah. Contoh paling mudah, seorang perokok tidak mungkin berhenti merokok sekiranya ia tidak menyedari kemudharatan atau kemanfaatan berhenti merokok, lebih-lebih lagi jika ia telah sebati sekian lama dalam dirinya. Kedua, kesanggupan untuk berubah. Terdapat ramai individu telah sedar dan ingin berhenti merokok tetapi tidak atau belum sanggup lagi untuk berhenti meninggalkannya kerana pelbagai faktor, antaranya tidak sanggup untuk meningglkan kenikmatan subjektif merokok. Ketiga, berniat tegas untuk berubah dalam jangka waktu yang telah ditetapkan. Keempat adalah tindakan pematuhan kepada niat atau azam yang diikuti dengan proses tindakan bagi membuktikan bahawa perubahan itu dilakukan dalam tempohnya dan perubahan itu dilihat benar-benar berlaku. Tindakan terakhir pula merupakan proses pemantauan terhadap tindakan pematuhan bagi memastikan sama ada pematuhan itu berlaku, diabaikan, ditangguhkan, dituruti atau sebagainya, agar tidak menyeleweng dari azam sebenar iaitu untuk berubah menuju kebaikan. 

Semoga kita diberi semangat dan kekuatan dalam menempuh dunia yang semakin mencabar...amin

No comments:

Post a Comment