Sinopsis Keseluruhan Novel (Khairuddin Ayip)
Novel ini mengisahkan kehidupan Dahlia,
seorang pelajar tingkatan enam Sekolah Menengah Kebangsaan Temenggong Ibrahim,
Batu Pahat yang pintar dan disenangi oleh teman-temannya seperti Kavita dan
Siti Wangi. Namun, Dahlia menghadapi masalah keluarga hingga mengganggu
tumpuannya terhadap peperiksaan STPM yang bakal didudukinya. Ibunya iaitu
Saleha dimasukkan ke Hospital Permai, Johor Bahru kerana kemurungan dan hilang
ingatan. Ayahnya pula iaitu Embong
dimasukkan ke wad 4 Hospital Batu Pahat kerana pahanya dipatuk ular tedung.
Adiknya iaitu Abu Bakar tidak mendengar kata / bersikap degil setelah tersilap memilih rakan. Dia tergamak
menjual kambing peliharaan ayahnya demi mendapatkan wang kerana dia tidak
bekerja setelah mendapat pangkat 3 dalam SPM. Dia juga pada mulanya tidak
menghiraukan masalah yang melanda keluarganya walaupun dia anak lelaki tunggal
dalam keluarga Dahlia. Nenek Kiah pula beranggapan bahawa keluarga Dahlia
ditimpa nasib malang kerana beranggapan rumah yang didiami oleh mereka berhantu.
Nenek Kiah juga sering mencemuh mereka berbanding anak cucunya yang lain.
Dengan hasutan Seman iaitu bapa saudara Dahlia, Nenek Kiah mengambil keputusan
untuk menjual tanahnya yang diduduki / ditumpangi oleh keluarga Dahlia. Namun
begitu, Tauke Lim menawarkan pertolongannya tanpa mengharapkan balasan atau
ganjaran.
Sebagai anak sulung, Dahlia terpaksa memberikan perhatian kepada
keluarganya. Sementelahan, adik-adiknya iaitu Mawar (pelajar sekolah berasrama
penuh), Kiambang (pelajar tingkat 1 / berusia 13 tahun), Melati (11 tahun) dan
Anggerik (1 1/2 tahun) masih belum mampu berdikari. Apabila ibunya dirawat di
Hospital Permai, dia terpaksa memilih untuk keluar dari asrama untuk menjaga
adik-adiknya. Apabila masalah kelurganya makin meruncing, Dahlia bertekad untuk
berhenti sekolah, dan bekerja di kilang bagi menyara adik-adiknya yang masih
bersekolah. Dahlia tetap dengan keputusannya walaupun dinasihati oleh cikgu
Hisyam. Setelah ibunya dibenarkan keluar dari wad, kampung mereka dilanda banjir
besar. Rumah mereka dihanyutkan manakala mereka sekeluarga pula dipindahkan ke
pusat pemindahan banjir (balai raya bersaiz 50m X 20m) yang terputus bekalan
air dan elektrik. Namun begitu, Dahlia tetap tabah mengulang kaji pelajarannya
sehingga mendapat pujian daripada Encik Daim (wakil perbadi Ahli Parlimen Sri
Gading).
Tekanan kian bertambah kerana hubungan akrabnya dengan Azhari dipandang
serong oleh jiran-jirannya. Tindakan berani Dahlia terjun ke sungai untuk
menyelamatkan Said tidak dihargai malah dicemuh pula kerana gagal
menyelamatkannya. Walau bagaimanapun Dahlia tetap tabah menghadapi dugaan demi
dugaan yang menimpanya. Setelah keadaan
dan masalah keluarganya reda, Dahlia mengambil keputusan untuk menyambung
pelajarannya semula. Memandangkan peperiksaan STPM cuma tinggal seminggu lagi
(Hari Isnin- 29 November), Dahlia menemui cikgu Salwani bagi meminta kebenaran
untuk tinggal di asrama. Majlis pertunangannya dengan Azhari pula akan diadakan
pada 30 Disember setelah tamat peperiksaan STPM.
Berkat kesabarannya menghadapi pelbagai dugan hidup, dia terpilih untuk
melanjutkan pelajaran ke Jepun dalam kursus Pengurusan Perniagaan peringkat
ijazah pertama selama 4 tahun. Oleh itu, Dahlia akan mengikuti kursus bahasa
Jepun di Universiti Malaya selama 6 bulan yang bermula 2 Januari. Dahlia
dipilih berdasarkan keputusan SPM dan peperiksaan semesternya yang cemerlang.
Dia perlu mendaftarkan dirinya pada 31 Disember, dan pada hari tersebut juga
akan berlangsung minggu suai kenal. Dengan itu, Dahlia perlu bertolak ke Kuala
Lumpur pada 30 Disember iaitu pada hari pertunangannya.
Dahlia tidak menghadiri majlis pertunangannya kerana keluarga Azhari
terlambat sampai ke rumah keluarga Dahlia ekoran pak cik Azhari yang menjadi
jurucakap majlis pertunangan lambat tiba. Haji Sulaiman iaitu ketua kampung
telah menghantar Dahlia ke stesen bas Bandar Penggaram untuk ke Kuala Lumpur.
Haji Sulaiman juga menyerahkan sumbangan penduduk kampung sebanyak RM500.00
kepada Dahlia. Daripada jumlah tersebut Tauke Lim telah menyumbang sebanyak
RM300.00. walau bagaimanapun Azhari
sempat bertemu dengan Dahlia sebelum bas bertolak ke Kuala Lumpur. Dalam
pertemua tersebut, beliau telah menghadiahi Dahlia sehelai kain songket merah
berbenang emas bagi mengingatkan Dahlia agar dia sentiasa menjaga tatasusila
dan budaya masyarakat Timur walau di mana-mana dia berada.
Selamat membaca:)
No comments:
Post a Comment